Pemberian Rumah Ini Hadiah Teristimewa Buat Kami Sekeluarga Sempena Aidilfitri - Paridah

 Murad, Roslan dan tetamu yang hadir melawat ke dalam rumah PPKB milik Paridah 


Paridah....Hadiah paling besar dan berharga


          Roslan menyerahkan replika kunci rumah kepada Paridah diperhatikan tetamu yang hadir



                                 Roslan memotong reben simbolik penyerahan rumah PPKB  



"Inilah hadiah paling besar dan berharga untuk saya. Tambahan ketika ini umat Islam sedang meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri selepas sebulan berpuasa," itulah kata-kata yang mampu diungkapkan Paridah Bujang, 49, ketika ditemui di Majlis Penyerahan Rumah di bawah  Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), di sini, baru-baru ini.

          Majlis penyerahan rumah PPKB tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Ahmad. 

          Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin; Setiausaha MPJ, Othman Ab. Latif; Pengarah Kanan Jabatan Kewangan MPJ, Mohd Hisham Tambi Ahmad; Ketua WHIP MPJ, Jazlee Pit; dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau, Datuk Sidang Md Akil Ghafar.

          Paridah merupakan salah seorang daripada 15 penerima sebuah rumah tiga bilik bernilai RM40,000 sumbangan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana MPJ merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negeri ini mengagihkan bantuan tersebut.

          Jelas Paridah, dengan adanya rumah itu, mereka sekeluarga akan dapat hidup dengan lebih selesa dan tidak perlu menumpang di rumah orang tuanya yang terletak bersebelahan rumahnya.
    "Saya berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan MPJ membina sebuah rumah tiga bilik lengkap dengan bekalan air dan elektrik.

         "Selepas ini, kami akan hidup lebih selesa dan berupaya mengubah nasib kami empat beranak dan tidak perlu menumpang lagi," katanya ketika ditemui sambil mengakui tidak mampu membina rumah baru kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bergantung pendapatan dengan menjaga anak jirannya.

         Ujarnya, sungguh tak sangka kehidupan susah mereka sekeluarga mendapat perhatian pihak berkaitan khususnya MPJ sehingga beliau terpilih sebagai penerima rumah PPKB ini.

         "Bagi saya, ini adalah hadiah dan nikmat dari Allah S.W.T untuk kami sekeluarga terutamanya ketika perayaan Aidilfitri ini," katanya gembira.

         Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, telah menjadi keutamaan pihak MPJ untuk membantu golongan memerlukan serta kurang mampu yang ada di dalam daerah Jasin.

         Menurutnya, inisiatif yang dilakukan oleh pihak MPJ ini, secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk memiliki rumah sendiri dan baru sekali gus menikmati kehidupan lebih selesa bersama keluarga tersayang.

        "Langkah pro-aktif yang dilakukan oleh pihak MPJ ini adalah untuk memberi fokus kepada usaha pembasmian kemiskinan di peringkat daerah Jasin selari dengan status Melaka Negeri Maju.

        "Di samping itu, apa yang diharapkan Hari Raya Aidilfitri yang sedang disambut ini akan memberi cahaya kegembiraan serta keceriaan kepada Paridah sekeluarga," katanya.

Comments