Kempen Kesedaran Dan Pencegahan Kanser, Beri Pendedahan Kepada Warga Kerja MPJ Bahaya Penyakit Kanser

                               Khoiri ketika menyampaikan ceramah kepada warga kerja MPJ

BERI TUMPUAN....Warga kerja MPJ memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ceramah yang disampaikan

Seramai 50 warga kerja MPJ terdiri dari pelbagai jabatan dan jawatan hadir pada program tersebut 


Ramai golongan wanita Malaysia khususnya orang Melayu memandang ringan terhadap tahap kesihatan mereka.

          Walaupun beribu-ribu kempen kesihatan diadakan, namun minda golongan hawa di Malaysia masih belum terdidik untuk menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai rutin dalam kehidupan.

          Rentetan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan kerjasama Syarikat Avail Beauty Sdn Bhd Melaka telah menganjurkan ceramah kesihatan - Kempen Kesedaran Dan Pencegahan Kanser Servik dan Barah Payu Dara di Bilik Gerakan MPJ, di sini.

          Pegawai Penerangan Avail Beauty Sdn Bhd Melaka, Khoiri Sahat berkata, kanser adalah penyakit kedua paling merbahaya di Malaysia selepas penyakit jantung dan kanser payudara merupakan penyakit utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita.

          Menurut beliau, hingga ke hari ini, barah payudara masih menjadi pembunuh utama golongan wanita di dunia. Pun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyakit itu boleh dirawat sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan di peringkat lebih awal.
   
          "Malangnya, pelbagai kempen dan usaha telah dijalankan untuk memastikan tahap kesedaran mengenai penyakit ini, namun realitinya tidak ramai yang tampil untuk menjalani rawatan.

          "Selain itu, kebanyakan mereka tidak menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai rutin hidup dan alasan yang diberikan, mereka sihat serta masih boleh melakukan kegiatan harian seperti biasa, kalau ada pun sakit sedikit masih boleh digagahi tanpa perlu merujuk kepada doktor," jelasnya.

          Ujarnya, wanita muda khasnya yang berusia lingkungan umur 18 hingga 35 tahun pastinya beranggapan bahawa mereka bukanlah golongan berisiko untuk menghidap penyakit barah payu dara.

          Jelasnya, stigma tersebut adalah salah sama sekali kerana perangkaan menunjukkan kes barah payu dara pernah menyerang wanita seusia belasan tahun.

          Selain faktor keturunan, cara hidup dan pemakanan dikatakan penyebab utama mengapa barah payu dara kini menyerang wanita yang lebih muda.

          "Terdapat pelbagai lagi faktor penyebab seperti pengambilan pil perancang, lambat mendirikan rumah tangga, tidak menyusukan anak juga boleh menjadi punca mengapa barah payu dara boleh menyerang wanita yang lebih muda," katanya.

          Pada perkembangan lain, Khoiri berkata, kanser bukanlah hukuman mati, tetapi terdapat langkah pencegahan yang boleh diambil serta rawatan dan program sokongan untuk pesakit kanser.

          "Kawal hidup anda dengan melakukan perubahan pada gaya hidup dengan menjalani pemeriksaan awal, ujian pengesanan dan mencegah penyakit merbahaya ini dari merebak," ujarnya.

          Seramai 50 warga kerja MPJ terdiri dari pelbagai jabatan dan jawatan hadir pada program tersebut.

Comments