MPJ Teruskan Agenda Turun Padang, Dekati & Selami Permasalahan Rakyat - Murad

 Murad (tengah) menerangkan sesuatu kepada wakil penduduk ketika program turun padang itu


 SELAMI PERMASALAHAN RAKYAT...Program turun padang yang dilakukan MPJ dapat menyelami permasalahan dihadapi penduduk di kawasan perumahan  


 TINJAU...Murad (kanan) meninjau tahap kebersihan longkang di Taman seri Hilir, On Lok ketika program turun padang tersebut


 
Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) meneruskan langkah proaktif melaksanakan program turun padang bagi menyelami permasalahan dihadapi penduduk di dalam kawasan pentadbirannya khususnya di kawasan perumahan.

          Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha MPJ mengenal pasti apa jua permasalahan dihadapi di kawasan serta taman perumahan dalam daerah Jasin.

           Menurut beliau, langkah proaktif berkenaan sekali gus memudahkan penduduk meluahkan segala permasalahan mereka terus kepada pegawai MPJ agar tindakan selanjutnya dapat diambil dengan sewajarnya.

          "Menerusi sesi turun padang yang dilaksanakan oleh MPJ ini, memberi kemudahan kepada orang ramai menyuarakan masalah mereka dalam suasana yang lebih santai dan mesra tanpa ada rasa ketidakpuasan hati.

          "Dengan cara bercakap secara 'face to face' dilihat lebih berkesan selain dapat membuktikan ketelusan pihak MPJ dalam merakyatkan perkhidmatan terhadap masyarakat sekali gus mengukuhkan perpaduan sedia terjalin sesama insan," katanya ketika mengetuai program turun padang di Taman Seri Hilir, On Lok, di sini.

           Hadir sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Ahli Majlis MPJ, Ngwe Hee Sem ; Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MPJ, Zainuddin Samad; Juruteknik Kanan Jabatan Kejuruteraan MPJ, Arifen Mohamad dan Juruteknik Jabatan Kawalan Bangunan,
Mahdhar Mohd Nor.

           Turut sama, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kawalan Perniagaan MPJ, Noor Imani Mohd Yusof; Penolong Pegawai Penerangan MPJ, Nur Adhawiah Mohd Said; Pegawai Dun MPJ, Mazlan Ahmad; Pembantu Penguatkuasa MPJ, Mohd Yatim Saring dan wakil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Pejabat cawangan Jasin.

          Jelas Murad, pendekatan yang dilakukan oleh MPJ ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk khususnya golongan kurang mampu agar tidak perlu bersusah payah datang ke MPJ bagi menyuarakan permasalahan yang mereka hadapi.

          Pada perkembangan lain, Murad berkata, melalui sesi turun padang ini, masyarakat akan memperoleh pemahaman lebih jelas terhadap peranan dan fungsi MPJ dalam usaha membantu serta memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

          Selain itu, program turun padang ini juga mampu menjelaskan kesalahan yang sering dilakukan penduduk khususnya aspek kebersihan.

Comments