Capai Visi Dan Misi Organisasi, Warga Kerja MPJ Disaran Senantiasa Amalkan Semangat Kerja Berpasukan

 Murad (depan, kanan) bersalaman dengan warga kerja MPJ selepas perhimpunan


 Sebahagian warga kerja MPJ yang hadir di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ di Dataran MPJ


 Murad ketika berucap seterusnya menyampaikan amanat kepada warga kerja MPJ di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ



Semangat kerja berpasukan merupakan satu elemen penting yang amat dititikberatkan demi mencapai misi dan visi sesebuah organisasi khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

          Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin berkata, ketiadaan kerja berpasukan dalam sektor perkhidmatan awam khasnya akan mengakibatkan berlakunya ketidakcekapan, kesilapan serta pelaksanaan kerja tidak konsisten.

          Beliau berkata, setiap penjawat awam memiliki kelebihan yang tersendiri dan hanya melalui perkongsian kemahiran, pengalaman serta pengetahuan, masalah yang kompleks dapat diselesaikan dengan mudah dan efektif.

          "Apabila semua penjawat awam menyedari tanggungjawab masing-masing terhadap organisasinya, bukan sahaja organisasi memperolehi manafaat, bahkan ianya turut memberikan kepuasan kerja terhadap penjawat awam.

          "Selain itu, pasukan kerja yang efektif adalah pasukan yang mempunyai matlamat bersama yang jelas di mana setiap warga kerja komited terhadap tanggungjawab masing-masing," katanya.

          Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ di Dataran MPJ, di sini.

          Hadir sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah Jabatan MPJ serta warga kerja MPJ di mana pada perhimpunan kali ini, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) MPJ menjadi jabatan penganjur pada bulan ini.

          Pada perkembangan lain, Murad berkata, cabaran besar dalam perkhidmatan awam pada hari ini adalah untuk memberi maklum balas dengan cepat, cekap dan berkesan kepada pelanggan.

          "Rakyat pada masa ini terdiri dari pelbagai latarbelakang kerjaya, berpelajaran dan berpengatahuan tinggi dan tidak wajar sekiranya masa mereka terbuang begitu sahaja disebabkan kelemahan kita.

          "Segalanya hendaklah dilakukan dengan pantas, cepat, tepat dan berkualiti," jelasnya.

          Ujarnya, untuk membolehkan perkhidmatan yang serta-merta atau perkhidmatan dengan segera, seseorang penjawat awam mesti mempunyai kebijaksanaan serta kebolehan untuk menjangkakan reaksi kepada setiap tindakan yang akan diambil dan bersikap proaktif.

          "Di samping itu, unsur-unsur kebolehpercayaan dan ketelusan hendaklah dijadikan asas kepada perhubungan kita dengan pelanggan.

          "Malah, adalah lebih bermakna sekiranya maklum balas yang diberikan diiringi serta berfokuskan kepada pelanggan kita," jelasnya.

          Kecepatan dalam membuat keputusan perlu seiring dengan kecepatan dalam melaksanakan tindakan.

          Oleh itu, keputusan yang cepat tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak disului dengan kepantasan melaksanakan tindakkan.

Comments

Post a Comment