Karnival RTC Melaka & Hari Bertemu Pelanggan 2012 MPJ Sertai Pameran

KUALA LINGGI, 14 Dis - Inisiatif mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) adalah bertujuan untuk mempercepatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta.
   
         Di premis RTC sendiri pelbagai kemudahan disediakan dengan konsep 'Satu Hentian, Pelbagai Kemudahan' bagi memastikan RTC dapat menjadi 'catalyst' untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk luar bandar serta menggiatkan aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.
  
         Seperti RTC Perak dan RTC Kelantan, RTC Melaka juga berfungsi sebagai pusat integrasi perkhidmatan yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian/agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 4) yang meliputi sembilan inisiatif iaitu latihan kemahiran, kios informasi 1Malaysia, pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro makanan, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kerjasama Universiti, perkhidmatan kesihatan 1Malaysia, kemudahan pembiayaan kewangan dan agro pelancongan. 
   
         Bagi merancakkan lagi aktiviti di RTC Melaka, satu karnival dan hari bertemu pelanggan 2012 telah diadakan.
   
         Tidak terkecuali menyertai karnival tersebut adalah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di mana program tersebut mengambil pendekatan Strategi Lautan Biru yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua jabatan dan agensi melibatkan keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
   
         Program 'outreach' sebegini dilaksanakan sebagai pengisian di RTC di mana penganjuran karnival seperti ini dilihat dapat mendekatkan lagi penjawat awam kepada masyarakat setempat selaras dengan dasar kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam.

Antara pencapaian dan kejayaan MPJ yang turut dipamerkan pada Karnival RTC Melaka dan Hari Bertemu Pelanggan 2012

Pengunjung tidak melepaskan peluang melawat ke booth MPJ sempena Karnival RTC Melaka dan Hari Bertemu Pelanggan 2012 di Kuala Linggi
  

Comments