Ceramah Perancangan Penulisan Wasiat Pusaka Islam Serta Pelupusan Harta Syarak Beri Pemahaman Kepada Warga Kerja MPJ


                                                 Sebahagian warga kerja MPJ yang hadir

 
 
Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MPJ, Zainuddin Samad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohamad Nazri selepas program 


Tanggapan masyarakat Melayu bahawa pengurusan harta pusaka serta pelupusan hutang syarak hanya boleh diselesaikan melalui hukum faraid sahaja adalah antara penyebab utama berlakunya kelewatan pembahagian yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris.
   
         Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka serta pelupusan hutang syarak itu bukan sahaja akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi kekeluargaan tetapi ia akan menyebabkan harta itu terutamanya hartanah akan menjadi statik dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang sepatutnya.
  
         Menyedari kepentingan pemahaman terhadap isu terbabit, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil langkah pro-aktif menganjurkan Ceramah Perancangan Penulisan Wasiat Pusaka Islam Serta Pelupusan Harta Syarak kepada warga kerjanya di Bilik Gerakan, di sini, semalam dan dihadiri seramai 50 kakitangan MPJ.
   
         Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Perunding Penulis Wasiat JG Barokah Consultancy, Mohamad Nazri Abdullah.
 
         Menurut Mohamad Nazri, mengimbas kembali apa yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu, secara asasnya terdapat tiga mekanisme utama yang diguna pakai apabila menyentuh soal pengagihan harta pusaka iaitu hukum faraid, hukum adat dan wasiat.

         • Hukum faraid - pembahagian harta mengikut syariat Islam berdasarkan kepada hierarki waris.

         • Hukum adat - amalan tradisi sejak berzaman lamanya yang ditentukan kepada konsep
                                   tolak ansur dan persefahaman antara waris.

         • Wasiat - yang paling jarang diamalkan dan ia berdasarkan kepada peraturan tertentu.

         "Perlu diakui walaupun pahit, isu pembahagian harta pusaka merupakan suatu perkara yang amat sensitif kerana lazimnya terdapat dua tabiat buruk di kalangan Melayu Islam iaitu tabiat membolot kesemua harta pusaka dan tidak menghiraukan urusan pewarisan harta pusaka itu sendiri.
 
        "Gejala buruk ini wajar dihentikan kerana ia langsung tidak mendatangkan faedah kepada para warisnya, walaupun sekelumit," ujarnya.
 
        Jelasnya, lebih menakutkan lagi apabila pemilik asal harta yang sedang bersemadi akan terus terseksa selama mana urusan pembahagian yang sepatutnya selesai secara aman dan harmoni, tidak menemui penyelesaiannya sehingga bertahun-tahun dan warisnya pula asyik bergaduh sesama sendiri.  

         Ujarnya, masalah tersebut tidak akan timbul sekiranya masyarakat sedar kepentingan menulis surat wasiat tetapi hakikatnya ramai orang Islam menganggap bahawa mereka tidak memerlukan wasiat kerana kewujudan hukum faraid - tanggapan ini ternyata silap.  

         "Kaedah penulisan wasiat juga sebenarnya mampu mengatasi semua permasalahan itu kerana ia mampu membezakan antara harta pusaka dan pemberian atau hibah. Ini kerana wasiat pengagihan harta ditentukan semasa pemilik masih lagi hidup.
  
        "Kelebihan menulis surat wasiat antara lain mampu mempercepatkan proses surat kuasa pusaka, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan," katanya.
  
         Menurutnya, Bbagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat Melayu yang beranggapan apabila harta-harta diagihkan terlebih dahulu sebelum mereka meninggal dunia akan menyebabkan kebarangkalian untuk anak-anak mengabai dan menyisihkan mereka.  

         Jadi, dalam usaha memastikan kedudukan mereka daripada terkena sindrom dihantar ke rumah orang tua oleh anak-anak yang tidak berperasaan dan tidak mengenang budi.
  
         Mereka kebanyakannya akan memilih jalan penyelesaian iaitu menyerahkan bulat-bulat kepada waris masing-masing untuk segala kemelut sesama sendiri apabila mereka meninggal dunia kelak.
   
         Pada perkembangan lain, para ibu bapa perlu bertanggungjawab mengelak waris-warisnya daripada pergaduhan sesama sendiri dan pada masa inilah, perlunya peranan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai badan bebas untuk mengendalikan serta menguruskan harta pusaka.

Comments