Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan, MPJ Rangkul Anugerah Emas & Perak

          Pemenang anugerah Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan bergambar     bersama Chee Heung (depan, tengah) selepas majlis 


 ANUGERAH EMAS...Tandas terminal bas dan teksi Merlimau terpilih memenangi Anugerah Emas Kategori Hentian Awam sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan


Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman (kanan) mewakili Murad menerima anugerah daripada            Chee Heung di majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan


JASIN, 25 Nov - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melakar kejayaan dan sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai penerima anugerah pada Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
  
        Bertambah manis, apabila MPJ turut diumumkan sebagai penerima dua anugerah pada Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan iaitu Anugerah Emas Kategori Hentian Awam dan Anugerah Perak Kategori Tandas Awam Milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (Bandaraya/Perbandaran).
 
       Tandas terminal bas dan teksi Merlimau telah terpilih memenangi Anugerah Emas Kategori Hentian Awam manakala Tandas 1Malaysia, Taman Muhibbah, Jasin pula dipilih sebagai penerima Anugerah Perak Kategori Tandas Awam Milik PBT (Bandaraya/Perbandaran).
  
        Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Arpah Abdul Razak.
      
        Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, kejayaan tersebut merupakan kejayaan bersama warga kerja MPJ.
  
         Beliau berkata, tanpa kerjasama yang jitu daripada semua warga kerja MPJ, kejayaan tersebut sukar untuk diraih lebih-lebih lagi bagi Anugerah Emas.

        "Sekalung tahniah kepada warga kerja MPJ khususnya mereka yang terlibat secara langsung sehingga melayakkan MPJ merangkul dua anugerah pada Sambutan Hari Tandas Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan.
 
       "Sehubungan itu, diharapkan kejayaan ini akan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada warga kerja MPJ untuk mengekalkan anugerah yang diperolehi seterusnya melakukan yang lebih baik di masa hadapan," katanya.

       Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan sebahagian besar tandas awam berada dalam kawasan PBT dan peranan PBT dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan tandas serta pembudayaan penggunaan tandas yang beretika amat penting.
  
       Ujarnya, selain itu, usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas dan menjadikan amalan penjagaan serta penggunaan tandas secara beretika turut menuntut penglibatan semua pihak yang berkepentingan langsung.

      "Dalam menerapkan amalan penggunaan tandas yang baik sebagai satu budaya hidup, peranan ibu bapa dan guru adalah amat penting dalam mendidik anak-anak sejak dari kecil kaedah penggunaan tandas yang betul.
 
     "Saya berkeyakinan sekiranya didikan dan latihan dari awal diberi, amalan mementingkan kebersihan dan kesihatan akan menjadi satu budaya yang akan diamalkan sepanjang hidup," katanya.

Comments