MPJ Teruskan Agenda Turun Padang, Selami Permasalahan Rakyat - Murad

          MPJ dari masa ke semasa mengadakan program turun padang, selami permasalahan rakyat


  DENGAR KELUHAN RAKYAT...Murad (kanan) turun padang mendengar
                              permasalahan yang dihadapi rakyat khususnya di kawasan perumahan 


              Murad (lima, kanan) ketika mengetuai Program Turun Padang di Taman Harmoni,                                                Taman Merlimau Utara dan Taman Muhibbah di sini, semalam


MERLIMAU, 28 Nov - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) meneruskan program turun padang bagi menyelami sendiri permasalahan penduduk di daerah ini khususnya dalam kawasan perumahan sekali gus mencari jalan untuk mengatasinya.

       Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, masalah rakyat perlu diberi penekanan yang sewajarnya dan atas dasar tersebut, MPJ mengambil langkah pro-aktif dengan mengadakan lebih kerap program turun padang.

       Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh MPJ ini bagi memastikan permasalahan yang dihadapi masyarakat tanpa mengira kaum dan kawasan dapat diberi perhatian sewajarnya.

       "Melalui aktiviti turun padang ini, kita dapat merasai sendiri denyut nadi rakyat serta permasalahan yang mereka hadapi khususnya berkaitan kemudahan awam dan pembersihan awam," ujarnya.

       Beliau berkata demikian ketika mengetuai program turun padang di Taman Harmoni, Taman Merlimau Utara dan Taman Muhibbah, di sini, semalam.

       Turut sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Ahli Majlis MPJ, Yam Abdullah; Penolong Pegawai Seni Bina Jabatan Kejuruteraan MPJ, Kamaruszaman Rus; Penolong Jurutera, Jabatan Kawalan Bangunan MPJ, Samsul Bahri Alias.

       Hadir sama, Penolong Pegawai Penerangan MPJ, Nur Adhawiah Mohd Said; Pegawai Dun MPJ, Amirul Azhar Adam, Ismail Ibrahim dan Pengurus Cawangan Jasin, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Melaka, Khairuladha Ab Mutalib serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Utara, Abdul Nasir Bazid.

       Jelas Murad, masalah rakyat perlu diberi penekanan yang sewajarnya dan aktiviti turun ke akar umbi perlu untuk merasai sediri denyut nadi mereka.

       "Rentetan itu, saya melihat aktiviti turun padang perlu dilaksanakan dengan lebih kerap kerana ianya cukup memberi kesan dalam usaha membantu rakyat menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

       "Ini selari dengan status Melaka Negeri Maju dan matlamat menuju Wawasan 2020," katanya.

       Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan menerusi sesi turun padang yang dilaksanakan oleh MPJ ini, memberi kemudahan kepada orang ramai menyuarakan masalah mereka dalam suasana yang lebih santai dan mesra tanpa ada rasa ketidakpuasan hati.

       Dengan cara bercakap secara 'face to face' dilihat lebih berkesan selain dapat membuktikan ketelusan pihak MPJ dalam merakyatkan perkhidmatan terhadap masyarakat sekali gus mengukuhkan perpaduan sedia terjalin sesama insan.

Comments