Merakyatkan Perkhidmatan Kepada Golongan Sasaran MPJ Selami Masalahan Rakyat - Murad

 TINJAU...Murad (kanan) meninjau permasalahan yang dihadapi rakyat di Taman Merlimau indah 

 MPJ komited dalam merakyatkan perkhidmatan terhadap golongan sasaran 
 Menerusi sesi turun padang, membolehkan orang ramai menyuarakan masalah mereka dalam suasana yang lebih santai dan mesra 

MERLIMAU, 7 Nov - Program Turun Padang ke kawasan perumahan sekitar daerah Jasin yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dilihat mampu mengeratkan ikatan silaturrahim dengan masyarakat setempat sekali gus dapat merakyatkan perkhidmatan kepada golongan sasaran.

    Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, melalui aktiviti turun padang ini juga membolehkan MPJ meninjau sendiri permasalahan dihadapi penduduk dalam kawasan perumahan khususnya dan daerah Jasin amnya.

    Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh MPJ ini bagi memastikan permasalahan yang dihadapi masyarakat tanpa mengira kaum dan kawasan dapat diberi perhatian sewajarnya.

    "Setiap permasalahan yang diutarakan oleh masyarakat akan kita rekod dan akan diambil tindakan susulan.

    "Sekiranya ianya melibatkan jabatan dan agensi berkaitan, kita akan panjangkan permasalahan tersebut untuk diambil tindakan selanjutnya oleh jabatan serta agensi terbabit," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengetuai program turun padang di Taman Deretan, Taman Merlimau Utama dan Taman Merlimau Indah, di sini, semalam.

    Turut sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Ahli Majlis MPJ, Yam Abdullah; Pengarah Jabatan Perundangan dan Penguatkuasaan MPJ, Suzilawati Md Zain; Juruteknik Kanan Jabatan Kejuruteraan MPJ, Arifen Mohamad; Penolong Pegawai Penerangan MPJ, Nur Adhawiah Mohd Said; Pegawai Seranta MPJ, Tan Kim Tue; Pegawai Dun MPJ, Amirul Azhar Adam dan wakil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Pejabat cawangan Jasin.

    Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan menerusi sesi turun padang yang dilaksanakan oleh MPJ ini, memberi kemudahan kepada orang ramai menyuarakan masalah mereka dalam suasana yang lebih santai dan mesra tanpa ada rasa ketidakpuasan hati.

    "Dengan cara bercakap secara 'face to face' dilihat lebih berkesan selain dapat membuktikan ketelusan pihak MPJ dalam merakyatkan perkhidmatan terhadap masyarakat sekali gus mengukuhkan perpaduan sedia terjalin sesama insan," katanya.

Comments