MPJ Turun Padang Ke Kawasan Perumahan Pantau Permasalahan Penduduk


Aktiviti turun padang mampu mengurangkan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat  

 PANTAU PERMASALAHAN...Murad (dua, kiri) bersama wakil jabatan berkaitan dan wakil penduduk ketika turun padang ke taman perumahan bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi penduduk untuk diambil tindakan oleh MPJ
 Melalui sesi turun padang, masyarakat akan lebih jelas terhadap peranan MPJ sekali gus menerangkan kesalahan yang sering kali dilakukan oleh penduduk


JASIN, 17 Okt - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melaksanakan langkah proaktif bagi menyelami pelbagai permasalahan dihadapi penduduk dalam lingkungan pentadbiran khususnya dalam kawasan perumahan apabila mengambil inisiatif mengadakan Program Turun Padang.

    Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, inisiatif dilakukan itu sebahagian usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti kawasan dan taman perumahan dalam daerah Jasin mempunyai apa jua permasalahan.

    Beliau berkata, menerusi pendekatan ini dapat memudahkan penduduk untuk meluahkan sendiri permasalahan yang dihadapi kepada kakitangan MPJ agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

    "Menerusi sesi turun padang yang dilaksanakan oleh MPJ ini, memberi kemudahan kepada orang ramai menyuarakan masalah mereka dalam suasana yang lebih santai dan mesra tanpa ada rasa ketidakpuasan hati.

    "Malah, dengan cara bercakap secara 'face to face' dilihat lebih berkesan selain dapat membuktikan ketelusan pihak MPJ dalam memberi khidmat kepada masyarakat," katanya.

    Jelas Murad, di samping itu, langkah ini dapat membantu penduduk khususnya golongan kurang mampu agar tidak perlu bersusah payah datang ke MPJ bagi menyuarakan permasalahan yang mereka hadapi.

    Ujarnya, selain dapat mendengar dan menyelami masalah penduduk, secara tidak langsung majlis seperti ini dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat antara MPJ dengan penduduk.

    Dalam pada itu, menurut Murad, melalui sesi turun padang ini masyarakat akan lebih jelas terhadap peranan dan fungsi MPJ dalam membantu masyarakat sekali gus menerangkan kesalahan yang sering kali dilakukan oleh penduduk khususnya berhubung penambahan bangunan kediaman dan aspek kebersihan.
   

Comments