Ceramah Antidadah Beri Pendedahan Warga Kerja Bahaya Penyalahgunaan Dadah Dan Kesannya

 Sebahagian warga kerja MPJ yang menyertai Ceramah Antidadah Tempat Kerja Bebas Dadah (Sektor Awam) di Dewan Alamanda

  BERI TUMPUAN...Warga kerja MPJ memberi sepenuh tumpuan terhadap ceramah yang disampaikan oleh Amin Fithri 

JASIN, 30 Okt - Penyalahgunaan dadah di tempat kerja akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan, kerosakan harta benda sekali gus menjejaskan imej organisasi.

    Penyalahgunaannya juga merupakan satu ancaman kerana penyalahgunaan dadah menjejaskan keupayaan untuk bekerja dengan selamat, membawa masalah kepada majikan dan menjejaskan keupayaan untuk bekerja serta produktiviti negara.

    Rentetan itu, satu Ceramah Antidadah Tempat Kerja Bebas Dadah (Sektor Awam) telah diadakan di Dewan Alamanda, di sini.

    Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jasin itu bertujuan memberi pengetahuan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan kesannya kepada masyarakat setempat khususnya penjawat awam.

    Selain itu, ianya juga bertujuan memperkasakan masyarakat setempat dalam mempromosi dan membudayakan amalan cara hidup sihat bebas daripada penyalahgunaan dadah di kalangan warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

    Di samping itu, menyebarkan informasi kepada warga kerja MPJ mengenai kaedah rawatan penyalahgunaan dadah.

    Dua penceramah dari AADK telah menyampaikan ceramah iaitu Penolong Pegawai Antidadah (Ketua Unit Pencegahan dan Publisiti) AADK Daerah Jasin, Amin Fithri Adnan dan Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan AADK Daerah Jasin, Norzie Ab Rahman.

    Sementara itu, menurut Amin Fithri, usaha membendung gejala dadah daripada terus merebak hendaklah dilakukan secara holistik dengan gerak kerja bersepadu supaya ia mendatangkan hasil yang dikehendaki.

    Beliau berkata, setiap anggota masyarakat memainkan peranan memerangi gejala dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

    "Negara ini akan hancur sekiranya gejala ini tidak dibendung dan marilah kita sama-sama memerah tenaga dan idea dalam menangani masalah sosial ini.

    "Justeru itu, diharapkan program seumpama ini dapat menjadi medan bertukar idea dan pandangan bagi membantu mengelak diri sendiri, keluarga, rakan sebaya dan masyarakat setempat daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah seterusnya memastikan tempat kerja bebas dadah, katanya.

Comments