Tingkatkan Jati Diri Warga Kerja MPJ Anjur Wacana 1Malaysia Dan Isu-Isu Negara


wacana1: Warga kerja MPJ memberi tumpuan terhadap ceramah yang disampaikan oleh penceramah yang diundang khas

wacana2: Sebahagian warga kerja MPJ yang menghadiri Wacana 1Malaysia dan Isu-Isu Negara di Dewan Alamanda 

JASIN, 13 Sept - Sepanjang bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Malaysia, pelbagai program serta pengisian telah dan akan dilaksanakan melibatkan ahli masyarakat berbilang kaum.
Rentetan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri Cawangan Melaka tidak terkecuali menganjurkan Wacana 1Malaysia dan Isu-Isu Negara di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.
Program melibatkan warga kerja MPJ itu disertai seramai 70 kakitangan terdiri daripada pelbagai jawatan dan jabatan.
Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, penganjuran program tersebut selain sebagai salah satu pengisian Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, ianya juga bertujuan memberi pendedahan kepada warga kerja MPJ mengenai konsep sebuah negara dan sistem yang diamalkan serta perbincangan mengenai perlembagaan yang seringkali disalah tafsir oleh sebilangan masyarakat.
Beliau berkata, di samping itu, program terbabit secara tidak langsung mampu meningkatkan jati diri sekali gus menerangkan konsep gagasan 1Malaysia kepada warga kerja MPJ.
"Program ini juga menggalak dan menterjemahkan patriotisme terhadap kemajuan dan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negara.
"Secara langsung program ini membantu warga kerja MPJ memahami definisi konsep gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan dan mengutamakan kepentingan komuniti masyarakat," katanya.
Pada perkembangan lain, Murad berkata, program berkenaan juga mampu meningkatkan semangat patriotisme dalam sanubari warga kerja MPJ sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai sumber modal insan yang bernilai tinggi.

Comments