Sebagai Pemangkin Hasrat Murni Kerajaan Warga Kerja MPJ Diingatkan Sentiasa Beri Perkhidmatan Terbaik & Berkualiti - Murad


perhimpunan1: Murad bersalaman dengan warga kerja MPJ selepas perhimpunan

perhimpunan2: Lafaz ikrar Rukun Negara oleh warga kerja MPJ


perhimpunan3: Murad ketika berucap di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ di Dataran MPJ



JASIN, 20 Sept - Penjawat awam khususnya warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) diingatkan supaya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang ramai.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, selain memikul tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan amanah, mereka juga harus mengamalkan sikap dedikasi, bersyukur serta prinsip bekerja seperti menepati waktu dan ketelitian dalam melaksanakan tugas.

Beliau berkata, ini termasuklah menambah baik sistem penyampaian awam serta bersedia untuk menerima teguran mahupun pandangan daripada pelanggan yang sentiasa memerhatikan tugas harian yang dilaksanakan penjawat awam setiap hari.

"Selain itu, komitmen secara berterusan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat amatlah dituntut selari dengan slogan 'Jasin Daerah Lestari, Bandar Bestari'," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ di Dataran MPJ, di sini, semalam di mana ianya turut dihadiri Pengarah Kanan dan Pengarah Jabatan MPJ serta warga kerja MPJ.

Pada perhimpunan kali ini, Jabatan Khidmat Pengurusan dan Korporat (JKPK) MPJ menjadi jabatan penganjur pada bulan ini.

Jelas Murad, dalam konteks aspirasi nasional kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi, penjawat awam berperanan untuk menjadi pemangkin kepada hasrat murni kerajaan.

Ujarnya, di sinilah letaknya tugas sebenar penjawat awam di dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Justeru itu, saya menyeru warga kerja MPJ supaya menekankan budaya kerja berpasukan dan saf yang kukuh demi kepentingan rakyat serta budaya menganggap rakyat sebagai pelanggan haruslah dikikis segera dan laksanakan tugas dengan menganggap memberi khidmat seolah-olah kepada satu keluarga yang besar.

      "Sehubungan itu, perkhidmatan akan diberikan dengan secara bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa. Ia sekali gus menghapuskan apa yang sinonim dipanggil 'budaya cincai' yang mengambil sikap endah tak endah dengan tugas yang dilaksanakan," katanya.

Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan warga kerja MPJ juga harus meminggirkan kepentingan diri di dalam melaksanakan amanah yang ditugaskan dan beranggapan bahawa tugas atau kerja yang dilaksanakan dengan jujur merupakan satu ibadat sekiranya kena dengan niat.

Comments