Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Melaka Kontinjen MPJ Turut Sertai Perarakan


Merdeka1: Kontinjen MPJ ketika melintasi pentas utama di majlis Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Melaka 

Merdeka2: Kontinjen MPJ tidak terkecuali menyertai sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun 

BANDA HILIR, 4 Sept - Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Melaka diraikan penuh meriah dengan perarakan dan perbarisan yang diadakan di depan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, di sini.

Sebanyak 117 kontinjen melibatkan 6,852 peserta terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan murid sekolah telah mengambil bahagian dalam perarakan itu sejauh tiga kilometer sehingga ke Hang Tuah Mall, Jalan Hang Tuah.

Sambutan yang bermula jam 8 pagi itu, turut diwarnai dengan persembahan kebudayaan, deklamasi puisi serta nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia.

Rentetan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tidak terkecuali menyertai Sambutan Hari Kemerdekaan di mana pada kali ini seramai 45 warga kerja MPJ terdiri daripada pelbagai jabatan dan jawatan menyertai sambutan tersebut.

Telah menjadi kelaziman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya MPJ menghantar kontinjen untuk menyertai Sambutan Hari Kemerdekaan saban tahun yang disambut serentak di seluruh negara.

Penyertaan warga kerja MPJ pada Sambutan Hari Kemerdekaan tersebut secara tidak langsung menzahirkan semangat patriotisme cintakan keamanan dan negara di dalam sanubari setiap kakitangan MPJ.

Comments