Penuhi Ekspektasi Penduduk Daerah warga MPJ Perlu Lebih Agresif & Pro-aktif


anugerah1: Warga kerja MPJ bersalaman dengan Md Yunus

anugerah2: Antara tetamu khas yang hadir pada majlis tersebut

anugerah3: Md Yunus ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 MPJ di Dewan Alamanda 


anugerah4: Md Yunus dan Murad (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 MPJ di Dewan Alamanda

JASIN, 20 Sept - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran memberi keutamaan dan keperihatinan terhadap aduan dan rungutan yang diterima dengan mengambil manfaat daripada kemajuan teknologi sebagai landasan melaksanakan tugasan yang terbaik dengan penuh integriti.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md.Yunus Husin berkata, golongan itu wajib bersyukur dan memberikan output perkhidmatan terbaik dan bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, termasuk dasar-dasar serta keputusan yang diputuskan kerajaan dilaksanakan mengikut bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, selain komited dengan amanah yang diberikan, mereka juga perlu berusaha untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan setia kepada kerajaan sedia ada.

"Gagalnya penyampaian perkhidmatan yang disampaikan di peringkat akar umbi maka, tercalar kredibiliti kerajaan dan memberi persepsi buruk masyarakat terhadap penjawat awam keseluruhannya.

"Kerana itu diingatkan juga agar penjawat awam harus menumpukan perhatian terhadap tugas hakiki yang telah dipertangunggjawab bagi menghindari mereka terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang dan diambil tindakan tatatertib," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Majlis Anugerah perkhidmatan Cemerlang 2011 Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Dewan Alamanda, di sini, semalam.
Seramai 17 kakitangan MPJ terdiri daripada pelbagai jawatan dan jabatan terpilih menerima anugerah berkenaan pada kali ini.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) MPJ, Murad Husin; Timbalan Ketua Whip, Datuk Abu Dolah Hitam; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Roslan Ahmad; ADUN Rim, Mohd Yazed khamis; Barisan Ahli Majlis MPJ serta warga kerja MPJ.

Tambah Md Yunus, bagi memenuhi ekspektasi penduduk daerah yang telah menjangkau 130,000 orang, warga MPJ perlu lebih agresif dan pro-aktif dalam berdepan dengan pelbagai aduan dan isu setempat yang memerlukan tindakan segera.

Jelasnya, sebagai nadi utama perkhidmatan setempat dengan Jumlah kekuatan tenaga kerja seramai 243 orang, beliau yakin MPJ mampu membangunkan daerah Jasin sekali gus meningkatkan pendapatan bagi memajukan lagi daerah ini.

"Ianya terbukti dengan kejayaan warga MPJ mendapat penarafan 4 bintang dan antara 21 PBT yang tersenarai dalam sistem penilaian star rating PBT bagi tahun lalu dan  beberapa kejayaan lain.

"Justeru itu, saya berharap agar warga MPJ terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai khususnya pelanggan yang berurusan serta mendapatkan perkhidmatan daripada MPJ," katanya.

Comments