Dalam Usaha Menjana Kecemerlangan Perkhidmatan Anggota MPJ Disaran Lakukan Perubahan 'Mind-Set' - Murad


Seramai 17 kakitangan MPJ terdiri daripada pelbagai jawatan dan jabatan terpilih menerima anugerah berkenaan pada kali ini

Sebahagian warga kerja MPJ yang hadir pada majlis tersebut

Murad ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 MPJ di Dewan Alamanda

Md. Yunos menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang pekerja cemerlang, Norshahril Saad dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD)

JASIN, 24 Sept - Dalam usaha menjana kecemerlangan perkhidmatan yang sesuai ke alaf yang baru, setiap anggota kerajaan khususnya warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) hendaklah membuat perubahan 'mind-set' atau anjakan paradigma untuk menerima perubahan ini.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, selain itu, anggota kerajaan juga disaran berusaha untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai bagi meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Beliau berkata, setiap anggota kerajaan harus sedar bahawa kualiti kerja yang dicari itu bukanlah satu keadaan yang statik malah akan terus berubah dengan lebih pesat lagi di masa hadapan.

"Justeru, apabila kita telah mencapai tahap kualiti yang menjadi matlamat kita, kita tidak seharusnya berpuashati serta menjadi selesa dan leka," katanya.

Murad berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 MPJ di Dewan Alamanda, di sini di mana majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md. Yunos Husin.

Hadir sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Timbalan Ketua Whip MPJ, Datuk Abu Dolah Hitam; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Roslan Ahmad; ADUN Rim, Mohd Yazed khamis; Barisan Ahli Majlis MPJ serta warga kerja MPJ.

Seramai 17 kakitangan MPJ terdiri daripada pelbagai jawatan dan jabatan terpilih menerima anugerah berkenaan pada kali ini.

Jelas Murad, majlis yang diadakan ini merupakan pengiktirafan MPJ terhadap warga kerja jabatan ini.

Ujarnya, meskipun jumlah yang menerima anugerah ini agak kecil, namun beliau percaya jumlah mereka yang cemerlang sebenarnya adalah lebih ramai manakala yang terpilih pada kali ini adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan bahawa kejayaan MPJ bukan sekadar bergantung kepada prestasi kecemerlangan segelintir kakitangan tetapi penyertaan dan sokongan padu seluruh anggotanya.

"Justeru itu, saya ingin menyeru semua warga MPJ agar berusaha dengan gigih dan memberikan sumbangan yang maksimum dalam meningkatkan nama baik jabatan dengan penuh tanggungjawab agar dapat dilaksanakan secara tepat, cepat dan berkualiti.

"Segala usaha hendaklah ke arah pencapaian visi, misi dan objektif MPJ," katanya.

Comments