2,000 Tetamu Hadiri Majlis Sambutan Hari Raya MPJ


jamuan1: Murad (dua, kiri) melayan tetamu yang hadir pada majlis tersebut

jamuan2: Tetamu yang hadir menikmati juadah yang disediakan

jamuan3: Pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis Sambutan Hari Raya MPJ di Dataran MPJ

JASIN, 7 sept - Kemeriahan Syawal masih dirasai serta diraikan walaupun hanya berbaki beberapa hari lagi.

Selain itu, penganjuran Majlis Rumah Terbuka dan Sambutan Aidilfitiri masih diraikan oleh masyarakat Islam di negara ini khususnya dan di negeri Melaka amnya.

Tidak ketinggalan, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya di Dataran MPJ, di sini, semalam.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, kira-kira 2,000 tetamu telah menghadiri majlis tersebut terdiri daripada warga kerja serta pelanggan yang berurusan dengan MPJ.

Beliau berkata, selain itu, majlis juga turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekitar daerah Jasin serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.

"Telah menjadi kelaziman setiap tahun apabila tibanya Syawal, MPJ tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya dalam usaha memeriahkan lagi kedatangan Syawal.

"Di samping itu, penganjuran program seumpama ini juga dilihat dapat mengeratkan ikatan silaturrahim antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemimpin, agensi kerajaan, pihak swasta, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seterusnya masyarakat dan pelanggan yang berurusan dengan MPJ," katanya.

Jelas Murad, majlis ini bukan sekadar memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut setiap tahun, namun yang penting ianya sebagai medan mengukuhkan hubungan dan perpaduan sedia terjalin sesama insan.

Pada perkembangan lain, beliau berkata tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan 'live band' daripada Kumpulan D'Gempita yang diundang khas bagi memeriahkan lagi majlis terbabit.


Comments