Konsep Bandar Mampan

Dari segi konsep, Bandar Mampan adalah sebuah bandar yang mempunyai daya saing dari segi ekonomi dan kewangan dan pada masa yang sama membangun secara berimbang dalam semua aspek kehidupan bandar termasuk perumahan, pendidikan, pengangkutan, kesihatan, keselamatan awam dan alam sekitar.


Ini adalah selaras dengan prinsip pembangunan mampan yang telah diisytiharkan oleh Suruhanjaya Brundtland “Our Common Future” pada tahun 1987 (UNCED 1987). Menurut Suruhanjaya Brundtland, pembangunan mampan adalah satu bentuk pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa menjejaskan keperluan generasi yang akan datang.


Dalam konteks Malaysia, konsep ini dipadankan pula bukan sahaja dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam perisytiharan Brundtland dan Agenda 21 yang dipersetujui di Rio de Janeiro pada tahun 1992 tetapi juga dengan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat (Garis Panduan Perancangan JPBD 22/97) yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD 1997). Di antara ciri-ciri utama yang ditekankan oleh Garis Panduan JPBD tersebut termasuklah prinsip-prinsip berkaitan keadilan dan kesaksamaan, ihsan, kepercayaan dan kekuasaan, keharmonian, penghormatan penuh kepada ilmu pengetahuan dan memperingati Pencipta, keamanan dan keselamatan, perundingan, bersih dan cantik dan pemuliharaan alam sekitar.


Rujukan

Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat (Garis Panduan Perancangan JPBD 22/97), JPBD, 1997.

UNCED. 1987. Our Common Future. Oxford.

.

Comments