Bincang Isu Berbangkit & Cari Jalan Penyelesaian, MPJ Anjur Sesi Dialog Bersama Peniaga Maju Junction

Murad (berdiri) ketika menjawab persoalan yang diutarakan oleh peniaga 


Salah seorang peniaga Maju Junction mengutarakan permasalahannya kepada MPJ pada sesi dialog tersebut


 Murad (kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir


Sebahagian peniaga Maju Junction yang hadir pada sesi dialog terbabit



Isu komuniti setempat tetap akan menjadi agenda utama terpenting bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, tidak terkecuali bagi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

          Rentetan itu, MPJ telah menganjurkan satu sesi dialog bersama peniaga-peniaga Maju Junction di Balai Raya Taman Maju, di sini.

          Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, dialog tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan mengenai isu-isu berbangkit serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi para peniaga di Maju Junction.

          Beliau berkata, melalui sesi dialog ini, para peniaga mempunyai platform untuk menyuarakan pendapat mereka kepada pihak berwajib dengan menggunakan saluran yang betul sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

          "Sesi mendengar dan menyelami masalah dihadapi peniaga khususnya dan penduduk setempat amnya sudah menjadi amalan MPJ sejak dari dulu lagi dan kini menjadi satu daripada langkah berkesan untuk kami meningkatkan perkhidmatan.

          "Keberkesanan sesi dialog ini ternyata ketara apabila pelbagai isu telah dibincangkan dan kesemuanya diambil perhatian MPJ untuk diselesaikan dengan segera," katanya ketika mempengerusikan sesi dialog tersebut.

          Menurut Murad, sesi dialog seperti ini, bukan hanya setakat mendengar dan menyelami masalah peniaga, secara tidak langsung merapatkan hubungan antara MPJ dan pemimpin masyarakat setempat, sekali gus menerangkan peranan serta fungsi MPJ kepada mereka.

         "Ini kerana, selama ini mereka beranggapan semua masalah atau aduan di bawah bidang kuasa MPJ, sedangkan ada juga isu sebenarnya bukan di bawah bidang kuasa kita," jelasnya.

         Sehubungan itu, jelas Murad, majlis dialog seumpama ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha menyelami permasalahan yang dihadapi masyarakat di dalam daerah Jasin dan mencari jalan penyelesaian segera seterusnya merakyatkan perkhidmatan kepada masyarakat.

Comments