Operasi Bersepadu Penggunaan Logo Halal Bagi Restoran Mamak Daerah Jasin

 Sebanyak lima premis diperiksa pada operasi tersebut 


Salah sebuah premis yang turut diperiksa pada Operasi Penggunaan Logo Halal Bagi Restoran Mamak Daerah Jasin Bersepadu   


LAKUKAN PEMERIKSAAN...Pegawai KPDNKK dan JAIM melakukan pemeriksaan ke atas bungkusan mee kuning pada operasi tersebut  

Pengusaha kedai makan dan restoran mamak di daerah ini diminta memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan premis dan makanan bagi mengelak berlaku keracunan makanan dan penyakit berjangkit serta mempamer logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

          Pemangku Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Nizamuddin Osman berkata, pihaknya belum berpuas hati terhadap prestasi kebersihan kedai makan dan restoran mamak di daerah ini yang masih rendah.

          Beliau berkata, ini menunjukkan masih ramai pengusaha restoran mengabaikan aspek kebersihan serta gagal mempamerkan logo halal yang dikeluarkan JAKIM.

         "Keadaan ini bukan saja akan memberi kesan kepada pengguna, malah boleh menjejaskan imej pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Penggunaan Logo Halal Bagi Restoran Mamak Daerah Jasin, di sini.

         Operasi tersebut turut disertai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Melaka.

         Menurut Nizamuddin, pihaknya terpaksa bertindak tegas dan tidak pernah menutup mata terhadap mana-mana restoran yang gagal mematuhi etika kebersihan.

         Jelasnya, pihaknya tidak mahu kejadian cirit-birit atau penyakit berjangkit berlaku disebabkan kecuaian atau kegagalan pengusaha restoran terhadap aspek kebersihan yang akhirnya menjejaskan imej PBT.

         "Saya berharap semua pengusaha lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan," katanya.

         Pada perkembangan lain, beliau meminta pengguna Islam mengubah sikap sambil lewa dalam memilih premis makanan untuk menjamu selera.

         Ujarnya, umat Islam seharusnya memilih tempat yang tidak meragukan dan sentiasa memberi kerjasama seperti membuat laporan serta aduan terhadap mana-mana premis yang menggunakan logo dan sijil halal yang tidak diiktiraf.

         “Kita negara Islam, jadi tidak semua perlukan sijil halal, contohnya restoran di kampung yang memang terbukti status halalnya kerana pada kebiasaannya, ia dikendalikan oleh warga tempatan beragama Islam.

         “Yang menjadi keutamaan untuk mempamer logo dan sijil halal JAKIM adalah kepada premis makanan yang meragukan serta sering menjadi kunjungan umum, terutama masyarakat Islam seperti restoran mamak,” katanya.

         Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan pemantauan dari masa ke semasa dalam usaha memastikan pengusaha kedai makan dan restoran mamak di daerah ini mengutamakan aspek kebersihan dan tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata. 

Comments