Kejohanan Boling Tertutup Piala Pusingan YDP Norhisam & Aznifah Di Nobat Juara

Peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama selepas kejohanan

Penganjuran Kejohanan Boling Tertutup Piala Pusingan Yang Dipertua dilihat dapat merapatkan lagi hubungan ikatan silaturrahim antara ahli kelab dan warga kerja MPJ


 Murad menyampaikan hadiah kepada johan kategori wanita, Aznifah


Murad menyampaikan piala pusingan kepada juara kategori lelaki, Norhisam
       

AYER KEROH : Kelab Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) membuka tirai program tahun 2013 dengan menganjurkan Kejohanan Boling Tertutup Piala Pusingan Yang Dipertua, baru-baru ini.

          Pengerusi Kelab Boling MPJ, Mohammad Hiriddin Hisham berkata, kejohanan yang berlangsung di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) itu diadakan sempena sambutan ulang tahun MPJ ke-6.

          Menurut Mohammad Hiriddin, selain itu, matlmat penganjuran kejohanan ini bagi merapatkan lagi hubungan ikatan silaturrahim antara ahli kelab dan warga kerja MPJ.

          "Di samping itu, memupuk semangat setia kawan dalam mengeratkan perhubungan di samping menyediakan keperluan aktiviti riadah kepada warga kerja MPJ khususnya ahli kelab boling MPJ," katanya.

          Jelas Mohammad Hiriddin, sebanyak dua kategori dipertandingan pada kejohanan tersebut iaitu kategori individu lelaki dan kategori individu wanita.

          Bagi kategori individu lelaki, johan menjadi milik Norhisam Nordin dari Jabatan Landskap dan Perkhidmatan Bandar dengan 329 jatuh naib johan digondol Mohd Hairudin Abu dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta dengan 299 jatuhan pin dan ketiga diraih Junaidi Mat Kahar dari Jabatan Teknologi Maklumat dengan 293 jatuhan pin.

          Manakala kategori wanita, tempat pertama disandang Aznifah Hussin dari Jabatan Kawalan Bangunan dengan 239 jatuhan pin, tempat kedua dimenangi Siti 'Ubaidah Yusof dari Jabatan Khidmat Pengurusan dan Korporat dengan 222 jatuhan pin dan tempat ketiga dibolot Zaidah Ibrahim dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa dengan 214 jatuhan pin.

          Dalam pada itu, pertandingan turut diserikan dengan cabutan nombor bertuah dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPJ, Murad Husin.

Comments