ISU KOMUNITI SETEMPAT JADI AGENDA UTAMA MPJ

Wakil pemimpin masyarakat mengutarakan permasalahan pada majlis tersebut untuk diambil tindakan oleh MPJ

Murad (depan, dua kanan) ketika menjawab persoalan yang diutarakan pada majlis tesebut    

MPJ mengambil pendekatan dengan menjadikan program dialog serta aktiviti turun padang ke akar umbi untuk mendalami masalah dihadapi penduduk setempat


 Isu komuniti setempat tetap akan menjadi agenda utama terpenting bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, tidak terkecuali bagi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

         Sehubunagn itu, MPJ mengambil pendekatan dengan menjadikan program dialog serta aktiviti turun padang ke akar umbi untuk mendalami masalah dihadapi penduduk.

         Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, langkah pro-aktif ini merupakan inisiatif secara berterusan yang dilakukan MPJ bertujuan menyelami isu dihadapi penduduk, sekali gus menyelesaikan segala masalah berbangkit.    

         "Sesi mendengar dan menyelami masalah dihadapi penduduk setempat sudah menjadi amalan MPJ sejak dari dulu lagi dan kini menjadi satu daripada langkah berkesan untuk kami meningkatkan perkhidmatan.

         "Ia juga satu medium untuk masyarakat setempat menyuarakan permasalahan mereka terus kepada MPJ untuk dibincangkan bersama serta diambil tindakan," katanya pada Majlis Dialog Bersama Pemimpin Masyarakat Setempat di Balai Raya Bukit Serkam, di sini.

         Hadir sama, Ahli Majlis MPJ, Ali Hasan Adon; Ketua-Ketua Jabatan MPJ dan Pemimpin Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.

         Murad berkata, keberkesanan sesi dialog ini ternyata ketara apabila pelbagai isu telah dibincangkan dan kesemuanya diambil perhatian MPJ untuk diselesaikan dengan segera.

         "Kita bukan setakat mendengar dan menyelami masalah penduduk, secara tidak langsung merapatkan hubungan antara MPJ dan pemimpin masyarakat setempat, sekali gus menerangkan peranan serta fungsi MPJ kepada pimpinan masyarakat.

         "Ini kerana, selama ini mereka beranggapan semua masalah atau aduan di bawah bidang kuasa MPJ, sedangkan ada juga isu sebenarnya bukan di bawah bidang kuasa kita," jelasnya.



Comments