28 Keluarga Kurang Mampu Terima Bantuan Sewa Rumah RM1,488 Dari KWPKB Atas Usaha MPJ

 TERIMA BANTUAN...Mohd Ali menyampaikan bantuan sewa rumah kepada salah seorang penerima
 Seramai 28 golongan kurang mampu dalam daerah Jasin menerima bantuan sewa rumah menerusi peruntukkan KWPKB atas usaha MPJ 

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap golongan memerlukan khususnya sekitar daerah ini.

          Terbaru, seramai 28 buah keluarga kurang berkemampuan sekitar daerah Jasin menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setiap seorang untuk tempoh setahun.

          Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, bantuan melalui peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) itu disalurkan kepada keluarga kurang berkemampuan terdapat di dalam daerah Jasin yang menyewa agar mereka mempunyai tempat tinggal selesa.

          Beliau berkata, bantuan sewa rumah ini disalurkan kepada keluarga miskin terdapat di dalam daerah Jasin yang menyewa agar mereka mempunyai tempat tinggal selesa.

         "Apa yang diharapkan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan miskin membayar sewa rumah mereka," katanya.

          Beliau berkata demikian di majlis Penyampaian Bantuan Sewa Rumah kepada 28 penerima sempena Program Konvoi Bermotosikal Melaka 2013 di Stadium Jasin, di sini, semalam.

          Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

         Jelas Murad, bantuan ini membuktikan kerajaan sedia ada mendengar setiap denyutan nadi rakyat khusunya golongan miskin dan memerlukan dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan selari menuju Wawasan 2020 tidak berapa lama lagi.

         Ujarnya, di samping itu, melalui bantuan yang disalurkan ini, membuktikan kerajaan sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.

         Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan bantuan ini juga diharap dapat membuka minda serta memotivasikan diri penerima supaya berusaha gigih untuk menambahkan pendapat isi rumah serta tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
  
        "Walaupun kerajaan prihatin dalam membela nasib rakyat, namun kita harus berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya mengubah nasib keluarga di masa hadapan.

        "Jangan kita hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan sepanjang masa tanpa berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga kita," katanya.

        Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penerima agar menggunakan bantuan yang diterima itu kepada saluran yang betul.

Comments