Pertandingan Perbarisan & Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 Peringkat Negeri Melaka Kontinjen MPJ Rangkul 2 Anugerah



 Kontinjen MPJ ketika melintasi pentas utama di majlis Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Melaka  pada 31 Ogos yang lalu

 Omar menyampaikan anugerah Naib Johan Kawad Terbaik Kategori Jabatan Kerajaan dan Agensi pertandingan Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 Peringkat Negeri Melaka kepada Murad

       Kontinjen Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua anugerah pada pertandingan Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2012.

       Pada pertandingan itu, Kontinjen MPJ berjaya merangkul Naib Johan Kawad Terbaik Kategori Jabatan Kerajaan dan Agensi dan tempat ketiga Pakaian Terbaik Kategori Jabatan Kerajaan dan Agensi.

       Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Melaka, di sini.

       Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, kejayaan tersebut sekali gus menjadi pendorong kepada kontinjen MPJ untuk meraih kedudukan yang lebih baik pada pertandingan tersebut di masa akan datang.

      "Di samping itu, penganugerahan ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kontinjen MPJ untuk melakukan yang terbaik pada tahun-tahun akan datang," katanya.

      Pada perkembangan lain, Murad berkata telah menjadi kelaziman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya MPJ menghantar kontinjen untuk menyertai Sambutan Hari Kemerdekaan saban tahun yang disambut serentak di seluruh negara.

      Penyertaan warga kerja MPJ pada Sambutan Hari Kemerdekaan itu secara tidak langsung menzahirkan semangat patriotisme cintakan keamanan dan negara di dalam sanubari setiap kakitangan MPJ.

Comments