Susulan Terdapat Aduan Penjualan VCD & DVD Cetak Rompak MPJ Dan KPDNKK Adakan Operasi Pemantauan


 JASIN, 6 Ogos -  Segelintir pemilik premis menjual cakera padat video (VCD) dan cakera digital video (DVD) di negeri ini khususnya di daerah ini dikesan terus berdegil menjalankan aktiviti penjualan produk cetak rompak di sebalik lesen perniagaan sah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Rentetan permasalahan tersebut, Majlis Perbandaran Jasin dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Melaka telah mengadakan operasi pemantauan ke premis penjualan VCD dan DVD di sekitar daerah Jasin.

Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan (JKP) MPJ, Juairiah Sulaimen berkata operasi tersebut diadakan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung penjualan VCD dan DVD cetak rompak di daerah ini.

Beliau berkata, sebanyak tiga premis menjual VCD dan DVD masing-masing di Bandar Jasin, Taman Maju dan Selandar telah diperiksa pada operasi pada kali ini.

"Hasil operasi pemantauan yang dijalankan, kita dapati premis menjual VCD dan DVD di Bandar Jasin baru beroperasi seminggu dan tidak mempunyai lesen perniagaan dari MPJ.
"Kita telah mengeluarkan kompaun ke atas premis tersebut dan KPDNKK turut merampas VCD dan DVD cetak rompak yang dijual.

"Manakala premis menjual VCD dan DVD di Selandar mempunyai lesen perniagaan yang sah serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala premis di Taman Maju tidak menjalankan perniagaan," katanya.

Pada perkembangan lain, Juairiah berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pemantauan dari masa ke semasa dalam usaha membendung aktiviti penjualan DVD dan CD cetak rompak khususnya daerah ini.

Jelas Juairiah, pihaknya tidak pernah menutup mata terhadap kegiatan itu malah akan kerap melakukan operasi pemantaun dibuat ke atas premis berlesen dan beberapa ‘lokasi panas’ yang dikenal pasti di seluruh negeri ini.

"Saya juga ingin mengingatkan pemilik premis agar hanya menjual VCD dan DVD yang tulen di samping mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PBT dan KPDNKK," katanya.

Comments