Perhimpunan Pagi Bulan 7 - Sempena Kedatangan Bulan Ramadhan Warga Kerja MPJ Di Saran Melipatgandakan Amalan Dan Mutu Perkhidmata





Jasin, 23 Julai - Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak, warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) khusus yang beragama Islam diseru merebut peluang meningkatkan amal ibadah serta melipatgandakan mutu perkhidmatan kepada masyarakat khususnya di dalam daerah Jasin.
Yang dipertua MPJ, Murad Husin berkata, selain melipatgandakan amal dan kebajikan, warga kerja MPJ perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang berurusan dengan MPJ sehingga mampu memberikan kepuasan terhadap golongan terbabit.
Beliau berkata, di samping itu, warga kerja MPJ disaran agar lebih dinamik dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan halatuju, wawasan dan matlamat yang jelas.
"Sehubungan itu, jangan jadikan bulan Ramadhan sebagai alasan untuk tidak dapat melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sekali gus menjadikan masyarakat hilang kepercayaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya MPJ.
"Seharusnya bulan yang mulia ini, dijadikan sebagai bulan untuk kita meningkatkan amal ibadah serta melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan rasa tanggungjawab sekali gus memperolehi pahala yang berlipatganda," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan MPJ di Dataran MPJ, di sini, hari ini di mana ianya turut dihadiri Pengarah Kanan dan Pengarah Jabatan MPJ serta warga kerja MPJ.
Pada perhimpunan kali ini, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPJ menjadi jabatan penganjur pada bulan ini.
Jelas Murad, semoga dengan kedatangan Ramadhan pada kali ini akan lebih baik dari sebelumnya dan berusaha mencapai keredhaan daripada Allah SWT dan seterusnya menjadi umat Muhamad SAW, memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat sekali gus menjadi warga kerja MPJ yang pro-aktif.
Pada perkembangan lain, beliau berkata, sempena Ramadhan, pelbagai program telah dirancang serta akan diadakan oleh MPJ antaranya Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Quran di Masjid Selat pada 1 Ogos ini anjuran bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jasin.  

SUMBER : MELAKA HARI INI


Comments