Terima Bantuan Sewa Rumah RM1,488 Setiap seorang Bantuan Yang Diperolehi Bantu Ringankan Beban Kami - Penerima


penerima1: Bee Lian...Terima kasih kerajaan
                                 

penerima2: Zaiton...Beryukur kerana terpilih menerima bantuan


penerima3: Komathi...Kurangkan bebanan



JASIN, 28 Ogos - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap golongan memerlukan khususnya sekitar daerah ini.

Terbaru, seramai 69 buah keluarga kurang berkemampuan sekitar daerah Jasin menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setiap seorang untuk tempoh setahun.

Bantuan melalui peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) itu disalurkan kepada keluarga kurang berkemampuan terdapat di dalam daerah Jasin yang menyewa agar mereka mempunyai tempat tinggal selesa.

Seorang penerima, Tan Bee Lian, 42, dari Kampung Baru On Lok di sini berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan khususnya MPJ kerana memilihnya untuk mendapat bantuan sewa rumah ini.

"Walaupun sedikit namun ia sedikit sebanyak dapat membantu saya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Sementara seorang ibu tunggal Zaiton Mohamad Din, 39, berkata, dia gembira kerana terpilih menerima bantuan ini yang secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya.

"Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan ini. Diharap selepas ini ada lagi bantuan lain yang diberikan kepada golongan seperti saya ini," katanya yang telah tiga kali terpilih menerima bantuan ini.

Manakala bagi Komathi a/p A.Suppiah, 30, dari Taman Ayer Merbau, menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna kepadanya dalam meneruskan kehidupan seharian.

"Memandangkan taraf ekonomi sekarang semakin meningkat, bantuan yang saya terima ini sedikit sebanyak dapat saya gunakan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta," katanya.


Comments