Atas Usaha Majlis Perbandaran Jasin 69 Keluarga Miskin Seluruh Daerah Jasin Terima Bantuan Sewa Rumah Dari KWPKB


Penerima bantuan sewa rumah bergambar bersama Murad selepas majlis

CERIA...Salah seorang penerima bantuan ceria menerima cek bantuan sewa rumah yang disampaikan Murad (kiri) 


JASIN, 15 Ogos - Sebanyak 69 buah keluarga miskin sekitar daerah Jasin menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 setiap seorang untuk tempoh setahun.

Bantuan melalui peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) itu atas usaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, bantuan sewa rumah ini disalurkan kepada keluarga miskin terdapat di dalam daerah Jasin yang menyewa agar mereka mempunyai tempat tinggal selesa.

Beliau berkata, apa yang diharapkan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan miskin membayar sewa rumah mereka.

"Selain itu, kepada penerima bantuan yang beragama Islam, bantuan ini bolehlah digunakan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma beberapa hari lagi," katanya di Majlis  Penyampaian Bantuan sewa Rumah kepada 69 penerima di Bilik Gerakan MPJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Pengarah Kanan, Jabatan Khidmat Pengurusan dan Korporat (JKPK) MPJ, Othman Ab Latif; Penolong Pengawai Penerangan MPJ, Nur Adhawiah Mohd said dan Barisan Pegawai-Pegawai DUN MPJ.

Jelas Murad, bantuan ini membuktikan kerajaan sedia ada mendengar setiap denyutan nadi rakyat khususnya golongan miskin dan memerlukan dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan selari menuju Wawasan 2020 tidak berapa lama lagi.

Ujarnya, di samping itu, melalui bantuan yang disalurkan ini, membuktikan kerajaan sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.

Pada perkembangan lain, Murad menjelaskan bantuan ini juga diharap dapat membuka minda serta memotivasikan diri penerima supaya berusaha gigih untuk menambahkan pendapat isi rumah serta tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

"Walaupun kerajaan prihatin dalam membela nasib rakyat, namun kita harus berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya mengubah nasib keluarga di masa hadapan.

"Jangan kita hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan sepanjang masa tanpa berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penerima agar menggunakan bantuan yang diterima itu kepada saluran yang betul khususnya penerima beragama Islam di mana ketika ini umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Comments