30 Warga Kerja MPJ sertai Program Khatam Al-Quran Di Masjid Selat




BANDA RAYA MELAKA, 2 Ogos - Telah menjadi tradisi dan amalan setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Majlis Khatam Al-Quran akan diadakan khususnya di masjid-masjid mahupun di surau.
Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dilihat amat sinonim dengan umat Islam dalam usaha menjadikan aktiviti tersebut sebagai salah satu program pengisian rohani.
Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Pejabat Daerah dan Tanah Jasin tidak ketinggalan menganjurkan program Khatam al-Quran Ramadhan 2012 di Masjid Selat, di sini, semalam.
Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, program tahunan tersebut diadakan sempena Majlis Pengimarahan Masjid Selat Sempena Bulan Ramadhan 2012 dan Majlis Berbuka Puasa setiap kali menjelangnya Ramadhan.
Menurutnya, selain itu, program ini juga  bertujuan mengimarahkan Masjid Selat sekali gus menyemarakkan lagi kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini.
"Seramai 30 warga kerja MPJ terdiri dari pelbagai jabatan dan jawatan telah menyertai program tersebut di mana ianya merupakan program tahunan MPJ setiap kali tibanya bulan Ramadan yang mulia ini.
"Di samping itu, dengan kehadiran bulan yang mulia ini, dijadikan sebagai bulan untuk kita meningkatkan amal ibadah serta jariah sekali gus memperolehi pahala yang berlipatganda," katanya.
Pada perkembangan lain, beliau berharap program tahunan ini akan lebih mendapat perhatian dan sokongan di kalangan kakitangan MPJ pada tahun mendatang.
Selain itu, sebagai menghormati dan memuliakan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak program ini perlulah diperbanyakkan.
"Justeru itu, diharapkan amalan khatam Al-Quran ini dapat diteruskan bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi di bulan-bulan lain juga di mana amalan ini merupakan amalan sunat yang di tuntut dalam Islam.
"Kitab suci Al-Quran adalah sebagai panduan, petunjuk serta pedoman untuk seluruh umat Islam di dunia dan di akhirat kelak. Oleh itu, umat Islam khususnya warga kerja MPJ disaran agar memperbanyakkan membaca Al-Quran di bulan yang mulia ini," katanya.

Comments