Selari Menuju Wawasan 2020-Warga Kerja MPJ Disaran Siap Sedia Lakukan Transformasi

JASIN, 20 Mac - Penjawat awam khususnya warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) disaran bersiapb sedia melakukan transformasi sikap ke arah lebih positif selaras insentif diberi kerajaan kepada mereka.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, penjawat awam khususnya anggota MPJ wajar membuat perubahan dari segi pemikiran dan sahsiah diri agar dapat mengelakkan sikap pentingkan diri sendiri sekali gus mampu memberi sumbangan kepada negeri dan negara.

Beliau berkata, setiap warga MPJ seharusnya berfikir apakah sumbangan mereka kepada majikan dan negara kerana penjawat awam banyak memperolehi manfaat dari kerajaan.

"Jangan kita asyik fikirkan datang kerja hanya untuk memenuhi ruang masa lapan jam sehari tanpa ada rasa ingin meningkatkan produktiviti kerja serta taraf ekonomi ke arah yang lebih baik.

"Jika ini yang kita amalkan sepanjang perkhidmatan kita dan mengambil sikap sambil lewa terhadap segala tugasan yang diberi, tidak mustahil produktiviti sesebuah organisasi itu menurun dan masyarakat hilang kepercayaan kepada kita khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya semasa berucap di Majlis Perhimpunan Pagi Bulanan Di Perkarangan Letak Kereta MPJ, disini, semalam.

Jelas Murad, adalah penting agar setiap anggota MPJ mempunyai displin diri dan kerja yang tinggi selari menuju Wawasan 2020.

Pada perkembangan lain, penjawat awam perlu memainkan peranan besar dalam melaksanakan tugasan yang diberi selari objektif untu mencapai kecemerlangan.

"Semua jabatan ada objektif serta misi untuk cemerlang, jadi sebagai penjawat awam kita perlu memainkan peranan," katanya.

Melaka Hari Ini, Rabu 21 Mac 2012.

Comments