Tingkat Tahap Kebersihan dan Keceriaan-MPJ Ambil Langkah Proaktif Anjur Aktiviti

JASIN, 20 Mac - Aktiviti gotong-royong anjuran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibatkan anggota masyarakat dilihat mampu meningkat tahap kebersihan serta keceriaan kawasan penempatan penduduk.

Selain itu, penganjuran aktiviti gotong-royong ini juga dilihat selari dengan status Melaka sebagai Negeri Maju, di mana elemen keceriaan dan kebersihan merupakan salah satu dari indikator untuk menjadi sebuah Negeri Maju.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah menganjurkan Program Gotong-royong Perdana dan Dialog di Taman Abdul Aziz (TDAA) Pulai di sini, kelmarin.

Majlis tersebut telah di pengerusikan Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman dan turut hadir sama, Ahli Parlimen Jasin.Datuk Wira Ahmad Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhamad, Ketua Ahli Majlis MPJ, Zaidi Atan, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) TDAA Pulai, Norhan Abu Samah, Ketua-ketua Jabatan MPJ serta penduduk sekitar kawasan.

Sementara itu, Ainu Nizla berkata, usaha yang dilakukan itu sebagai pendorong kepada semua peringkat masyarakat khususnya generasi sekarang bagi mengembalikan amalan tradisi rakyat Malaysia itu yang semakin terhakis.

Jelasnya, selain itu, ianya juga merupakan langkah proaktif MPJ dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan sekitar kawasan ini.

"Aktiviti mengadakan gotong-royong ini juga sebagai langkah positif berikutan Melaka juga dikenali sebagai negeri pelancongan terunggul.Aspek kebersihan merupakan elemen penting dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk berkunjung ke negeri ini, " katanya.

Selain itu, aspek kebersihan merupakan salah satu dari indikator yang telah ditetapkan bagi mencapai status Negeri Maju.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya masyarakat setempat menjaga kebersihan dan tidak hanya mengharapkan PBT serta agensi berkaitan semata-mata bagi membersihkan sesuatu kawasan itu.

" Jika semua anggota masyarakat dapat menjaga serta mengamalkan kebersihan dalam kehidupan, nescaya kawasan-kawasan perumahan mahupun kampung-kampung akan sentiasa dalam keadaan bersih serta ceria, " katanya.

Oleh itu, jelasnya komitmen dan semangat bekerjasama ini perlu dilakukan secara berterusan membabitkan setiap Ahli Majlis PBT menerusi program gotong-royong di kawasan masing-masing.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, program seumpama ini juga dilihat sebagai platform kepada warga MPJ mengeratkan hubungan dengan masyarakat di samping bersama berusaha menjaga kebersihan negeri ini khususnya daerah ini.
Pada majlis tersebut, MPJ turut membuka kaunter bayaran cukai taksiran bagi memudahkan orang ramai melunaskan cukai taksiran.

Sumber: Melaka Hari Ini, Rabu 21 Mac 2012

Comments