77 Mangsa Ribut Bazar Ramadhan Jasin Terima Sumbangan

JASIN, 29 Ogos - Pengerusi Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BISTARI), Dati Seri Asmah Abd Rahman mahu mangsa-mangsa ribut Bazar Ramadhan Jasin meneruskan kehidupan dengan cekal dan tabah serta tidak putus asa setelah ditimpa bencana yang tidak diduga termasuk kehilangan ahli keluarga.


Asmah berkata kesemua mangsa khususnya peniaga perlu melipatgandakan usaha dengan terus berniaga dilokasi bazar
Ramadhan yang baru di Pekan Jasin.

Asmah berpendapat lokasi baru bazar itu lebih strategik dan mengalami pertambahan jumlah peniaga seramai 10 orang. Kini dibazar itu terdapat 70 peniaga berbanding 60 peniaga sebelum ini di lokasi lama.


"Hari ini kita menyumbang wang tunai sebanyak RM 16,400.00 kepada semua 77 mangsa Ribut termasuk 3 yang meninggal dunia. Bagi yang meninggal dunia, kita sumbangkan RM 500.00 setiap seorang kepada pewarisnya. Manakala seorang yang mengalami cedera parah turut diberikan RM 500.00. Selebihnya, menerima RM 200.00 setiap seorang.

"RM 10,000.00 merupakan wang yang disumbangkan oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), manakala sejumlah RM3,600.00disumbangkan oleh BISTARI dan selebihnya hasil perkongsian dengan Pertubuhan Perempuan (WI), Kelab Badminton Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Melaka," katanya.


Asmah berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan BAKTI kepada Mangsa Ribut Bazar Ramadhan Jasin di Dewan Perpaduan, disini, pagi tadi.

Turut hadir, Isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Zurina Kassim yang menyampaikansumbgan, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Murad Husin, ADUN Rim, Yazed Khamis dan ADUN Serkam, Datuk Hj. Ghazale Muhamad. Dalam perkembangan berkaitan, Asmah berkata BAKTI telah banyak mengulurkan sumbangan untuk menggerakkan program Semai Bakti Melaka dan Biasiswa Anak Angkat Bakti sebanyak RM 6,000.00.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyalurkan sumbangan bencana ini menerusi BAKTI untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa ribut ini dan justeru itu saya bersyukur kerana dapat melaksanakan penyampaian sumbangan pada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Zaini Rasap, 37 bersyukur kerana terselamat daripada bencana itu, Zaini yang berniaga secara sepenuh masa sejak 14 tahun lalu menyifatkan kejadian itu sebagai yang paling tidak boleh dilupakan.

Sementara itu, isteri Zaini, Norhanita Hassan, 36 berkata dia hanya bergantung kepada pendapatan suami yang berniaga sepenuh masa. Norhanita berkata selain dia dan tiga orang anak mereka, Zaini turut menyara ibu mertua Norhanita, Salamah Ali, 78 tahun yang menghidap sakit tua.

Sementara itu, seorang peniaga Nasi Kerabu yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, Shakirah Mohamad, 37 trauma dengan kejadian yang menimpanya menyebabkan dia terus mematikan hasrat untuk berniaga.

"Ini merupakan kali pertama saya meniaga dan tidak menduga kejadian ini akan berlaku. Saya tidak cedera dan sempat melarikan diri semasa semua barangan diterbangkan angin," katanya yang menetap di Taman Maju, Jasin.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang kehilangan ayahnya didalam kejadian itu Saniah Abdul, 47 mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu bapanya disamping sumbangan - sumbangan yang diterimanya.

Saniah anak kedua daripada 10 beradik berada ditempat kejadian sewaktu bapanya, Abdul Din Umar, 70 meninggal ditempat kejadian. Ini merupakan pengalaman pertama yang dialaminya sejak 20 tahun berniaga. - Sumber : Melaka Hari Ini, 30 Ogos 2010

Comments