Konsep Daerah Lestari Bandar Bestari Disokong

MELAKA 19 Mei - Pelbagai pihak menyokong komitmen Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melaksanakan konsep Daerah Lestari Bandar Bestari dalam usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu meningkatkan kualiti pengurusannya pada masa depan.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, sokongan dan penghargaan itu termasuk dari Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Mohd. Atei Abang Medaan yang mengadakan lawatan dua hala ke MPJ baru-baru ini.

Menurutnya, pada kunjungan itu yang turut disertai beberapa pegawai kanan Datuk Bandar, pihak terbabit menyatakan amat tertarik dengan pengenalan konsep Daerah Lestari yang diusahakan oleh MPJ ketika ini.

''Selain bertukar pandangan, lawatan itu juga memberi manfaat kepada MPJ dalam memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita menjadikan Jasin sebagai Daerah Lestari sekali gus Bandar Bestari pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Datuk Bandar Kuching Utara di sini baru-baru ini.

Pada lawatan itu kata Murad, rombongan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melawat pentadbiran MPJ dan pelaksanaan konsep Tandas 5 Bintang dan beberapa lokasi pelancongan seperti Dewan Alamanda dan Kolam Ayer Panas Bemban.

Selain itu, katanya, rombongan turut dibawa mengunjungi kawasan persekitaran Pekan Merlimau, Makam Tun Teja dan projek inap desa di Parit Penghulu, Sungai Rambai.

Sementara itu Mohd. Atei berkata, lawatan itu diadakan bertujuan untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dengan pihak MPJ dalam melaksanakan konsep Daerah Lestari, Bandar Bestari.

''Dari segi pelaksanaan, secara dasarnya terdapat persamaan antara DBKU dengan MPJ dalam melaksanakan konsep Daerah Lestari, Bandar Bestari," katanya.

Menurut beliau, pihaknya lebih tertarik dengan konsep pelaksanaan MPJ dalam program Tandas 5 Bintang dan program inap desa yang terdapat dalam daerah itu.

''Ini kerana, konsep sedemikian tidak banyak dipraktikkan di DBKU dan melalui lawatan ini, ia memberi idea kepada kami untuk mula melaksanakan konsep yang sama dalam usaha meningkatkan kemudahan dalam kawasan pentadbiran DBKU," kata beliau.

Comments

  1. Asalamualaikum,
    1.Tahniah,kerana menjadikan Perbandaran Jasin sebagai daerah lestari bandar bestari.
    2.Saya memohon jas baik pihak MPJ untuk membersihkan kawasan taman kami(Taman Harmoni)Merlimau,ini kerana pihak penngurusan sampah,hanya memunggut sampah di belakang rumah sahaja.
    3.Saya juga berharap pihak MPJ bertindak secara pro aktif untuk menjalinkan kerjasama dengan penduduk setempat untuk mengadakan kempen membersihkan kawasan masing-masing...dan saya merasakan mereka mengalu-alukan kerjasama daripada pihak MPJ.
    4.Kami ingin bersama MPJ menjayakan matlamat menjadikan Jasin, daerah lestari bandar bestari.

    ReplyDelete

Post a Comment